Sunday 16 December 2012

  Monyet Bangkatan Tarikan Pelancong di Sungai  Kinabatangan







                              
                                                                                
PERNAHKAH anda melihat sejenis monyet yang hidungnya panjang, perutnya buncit dan ekornya tebal berwarna putih?

Spesies yang dilindungi itu dikenali dengan nama saintifiknya sebagai proboscis monkey atau monyet bangkatan. Kalau dilihat seimbas lalu, monyet itu seolah-olah memakai seluar berwarna kelabu dan jaket berwarna oren.
Gabungan warna kelabu, oren dan putih pada spesies itu membuatkan binatang itu sangat berbeza daripada kumpulan monyet yang pernah ditemui di negara ini. Cerita mengenai keistimewaan yang terdapat pada monyet itu telah menjadikan Sanktuari Hidupan Liar di Hilir Kinabatangan tidak putus- putus dikunjungi pelancong asing mahupun pelancong tempatan.
Dikatakan setiap hari purata antara 80 hingga 100 pelancong datang ke sanktuari itu semata-mata untuk melihat monyet bangkatan. Mereka semuanya mahu melihat lebih dekat rupa monyet bangkatan yang hanya terdapat di Borneo dan beberapa kawasan hutan di Sabah.
Pada masa yang sama, pelbagai jenis binatang liar lain yang banyak terdapat di kawasan itu juga tidak kurang menjadi daya tarikan pelancong untuk terus mengunjungi kawasan tersebut. Sesiapa sahaja yang pernah menjejakkan kaki ke sanktuari ini tidak dapat menafikan keindahan alam semula jadinya yang masih terpelihara.
Selain monyet bangkatan, hutan simpanan seluas 27,000 hektar itu juga dikatakan mempunyai sembilan spesies monyet lain. Antaranya kera hantu, kongkang, gibbon (ungka), orang utan dan beruk.
Hutan simpanan ini dikatakan kawasan yang paling banyak didiami oleh spesies monyet di dunia. Kawasan itu juga mempunyai 106 spesies burung, 40 spesies mamalia seperti gajah dan rusa dan empat spesies reptilia, termasuk buaya.
Monyet bangkatan yang bergerak dalam kumpulan dan gemar bergayut di tempat tinggi itu mudah dilihat kerana binatang itu gemar bermain di dahan pokok yang berjuntai ke arah sungai. Pelancong akan merasa lebih seronok apabila pada masa yang sama mereka dapat melihat gajah ataupun rusa.
Hutan simpanan ini dikatakan mempunyai paling banyak spesies binatang liar yang telah hampir pupus, tetapi masih boleh dilihat di kawasan ini.
Pelbagai jenis pokok yang berjuntai dan ada antaranya mencecah sungai itu menambahkan lagi keindahan alam semulajadi di kawasan ini.
Pelancong yang pernah sampai ke kawasan ini sudah pasti akan membuat pertimbangan untuk menjejakkan kaki kali kedua ke sanktuari ini. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk bermalam di calet yang terdapat di kawasan hutan itu.
Bermalam di calet ini dikatakan akan memberi lebih banyak kenangan manis kerana di samping dapat meluangkan lebih banyak masa menerokai kawasan hutan ini, pelancong juga akan dapat merasakan betapa sejuknya udara waktu malam dan segarnya udara pada waktu pagi.


Di Sediakan oleh : JAMALIS JIKA

No comments:

Post a Comment