Sunday, 16 December 2012

 Terpukau di Simpang Mengayau

 Location : Kudat, Sabah, Malaysia





  • TERBENTUK...angin dua lautan yang bertiup menjadikan batuan pasir di situ membentuk pusaran dan tetingkat
  • TUGU..pancang bendera raksasa dan replika bumi menandakan ia adalah kawasan dataran terakhir di Borneo.
  • UNIK...pukulan ombak menjadikan batu yang menjadi penghujung kepulauan Borneo cukup unik.
  • DI SINI...penulis bergambar di replika bumi yang menunjukkan kedudukan Simpang Mengayau di peta dun
TERKENAL dengan jolokan ´The Tip Of Borneo´ atau Penghujung Barat Laut Kepulauan Borneo, pemandangan mempesona yang sentiasa menjadi buah mulut pengunjung selain gambar di Internet bagaikan memanggil penulis berkunjung ke sana.

Walaupun dilahirkan di Negeri Di Bawah Bayu, penulis belum sampai ke daerah Kudat, apatah lagi menyaksikan keindahan Tanjung Simpang Mengayau yang sangat menakjubkan.

Justeru, sempena cuti Aidilfitri lalu, penulis sempat mengunjungi destinasi itu dalam perjalanan melawat keluarga.

Subhanallah. Itulah ungkapan pertama penulis ketika tiba di tanjung di Semenanjung Kudat, kira-kira tiga setengah jam pemanduan atau 215 kilometer dari Kota Kinabalu.

Diterjemahkan sebagai ´Simpang yang Berpanjangan´, Simpang Mengayau menjanjikan pemandangan memukau yang melepasi Laut China Selatan.

Alam semula jadinya cukup mempesonakan dengan pecahan batuan pasir yang membentuk pusaran dan tetingkat.

Menariknya, ia tempat pertemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu yang pernah satu ketika dulu menjadi laluan pedagang China ke sini menggunakan tongkang.

Difahamkan, banyak tongkang karam menjadi tukun tempat habitat hidupan laut yang menarik dan indah.

Dalam bahasa kaum Rungus, Kudat, Tanjung Simpang Mengayau dikenali dengan nama ´Tanjung Sampang Mangazo´.

´Tanjung´ bermaksud hujung, ´sampang´ adalah simpang dan ´mangazo´ pula bermakna peperangan.

Bagi kaum Rungus, tempat itu mempunyai makna dan menyimpan sejarah penting.

Menurut sejarah, kawasan itu adalah tapak pertempuran pahlawan Rungus dengan lanun yang sering menyerang perkampungan mereka sekitar abad ke-18 dan 19.

Justeru, mereka menggunakan tanjung ini sebagai kawasan mempertahankan perkampungan selain tempat pengawasan kapal asing melalui atau mendarat.

Untuk sampai di titik penghujung barat laut pulau ketiga terbesar di dunia itu, pengunjung terpaksa berjalan kaki kira-kira 200 meter dari tempat letak kereta ke pancang bendera raksasa dan replika bumi (Globe).

Ini membolehkan pengunjung merakamkan gambar kenangan serta akhirnya ke batuan singkapan granit.

Namun, walaupun terpaksa berjalan, segala tenaga yang digunakan pasti berbaloi dengan keindahan yang memukau.

Selain itu, pengunjung pasti terpesona melihat pecahan batuan pasir yang membentuk pusaran dan tetingkat.

Pastikan anda membawa kamera kerana inilah masanya untuk merakam pelbagai keindahan dan panorama indah yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Di samping itu, pengunjung dapat melihat rumah api di Pulau Kalampunian serta pantai Kalampunian iaitu pantai tercantik di Kudat di sebelah kiri.

Kejernihan laut dan pasir pantainya yang memutih, pasti membuatkan sesiapa saja tertarik untuk berenang atau mandi-manda.

Selain Tanjung Simpang Mengayau, pengunjung yang datang ke sana juga akan berpeluang melawat lokasi menarik, antaranya ladang madu lebah di Kampung Gombizau, kilang gong di Kampung Sumangkap dan rumah panjang kaum Rungus.

Justeru, bagi yang mahukan percutian menarik, masa yang diluangkan di Tanjung Simpang Mengayau pasti tidak akan sia-sia kerana setiap detik adalah saat menyeronokkan.

Info:

>Tanjung Simpang Mengayau adalah penghujung barat Laut Kepulauan Borneo yang juga pertemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu.

>Terletak 215 kilometer iaitu lebih kurang tiga setengah jam pemanduan dari Kota Kinabalu.

>Tempat yang mempunyai makna dan menyimpan sejarah penting buat kaum Rungus kerana menjadi tapak pertempuran pahlawannya dengan lanun yang sering menyerang perkampungan mereka sekitar abad ke-18 dan 19.

>Pernah menjadi laluan kepada pedagang dari China untuk ke sebelah sini menggunakan tongkang satu ketika

Disediakan  oleh; Wenfry Antong

No comments:

Post a Comment