Sunday, 16 December 2012

Keheningan di lembah Danum
 
FAKTA . . . !!
  • Hutan Simpan Ulu Segama Malua yang menempatkan BRL Lembah Danum adalah hutan simpan kerajaan negeri berstatus Kelas Satu yang dilindungi daripada kegiatan pembalakan.
  • Lembah Danum dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu mempunyai keluasan 43,000 hektar. Ia menjadi habitat semulajadi lima hingga tujuh ekor badak Sumatera dan ada 12 kubang haiwan liar itu di situ.
  • Ada 22 unit perangkap video dan kamera dipasang di sekitar Lembah Danum untuk merakam pergerakan badak Sumatera untuk melindungi dan mempertahankan habitat semulajadinya.
  • Dianggarkan badak Sumatera yang mendiami Lembah Danum dan hutan lain di Sabah akan pupus dalam tempoh lima tahun akan datang jika tiada langkah menyelamat dan melindunginya.
  • Suara unggas menceriakan perjalanan merentasi titi gantung

  • MELANGKAH atas titi gantung sepanjang 100 meter di atas pokok yang mencecah ketinggian 40 meter di hutan Lembah Danum, Lahad Datu menjanjikan pengalaman indah biar pun terasa gayat.
    Pada jarak 50 meter pertama, titi yang merentangi Sungai Danum itu setinggi 35 meter dan meningkat kepada 40 meter pada laluan 50 meter kedua yang merentangi Hutan Simpan Ulu Segama Malua.
    Di pertengahan laluan, pengunjung terpaksa mendaki pokok balak dianggarkan berusia lebih 100 tahun yang dilengkapi tangga besi setinggi lima meter, sebelum perjalanan di atas titi diteruskan.
    Kehijauan alam semula jadi dipenuhi panorama rimba dan sungai memberi ketenangan dan dengan sendirinya mengurangkan rasa gayat.
    Suara unggas, termasuk burung bekia (bulwer’s pheasant), rusa dan Orang Utan menambah keceriaan perjalanan di atas titi, biar pun kelibat haiwan berkenaan tidak kelihatan.


     MENIKMATI pemandangan indah Lembah Danum di titi gantung Borneo Rainforest    Lodge  setinggi 40 meter.

    BRL Lembah Danum menyediakan penginapan dalam rimba yang menjanjikan ketenangan kepada pengunjung, termasuk mereka yang memilih untuk meniti di atas titian berkenaan.
    Bagaimanapun, setiap kediaman eksklusif yang pernah memenangi `Anugerah Destinasi Pelancongan Baru Asia’ pada 1996 itu hanya sesuai didiami dua pengunjung pada satu masa.
    Reka bentuk fizikal kediaman itu mirip rumah kampung pada struktur luar tetapi di dalamnya sama seperti kemudahan hotel mewah.
    Penulis bernasib baik kerana sempat memerhatikan seekor ibu burung bekia bersama tiga anaknya di sekitar kediaman itu, selain seekor rusa dan kucing hutan (cibet) tetapi gagal merakamkan hidupan liar berkenaan.
    Pengunjung boleh memilih mandi air dingin dari sumber air mineral Sungai Danum atau air panas selepas mengembara di atas titi gantung atau berkunjung ke Pusat Maklumat Alam Semula jadi dan Alam Sekitar.
    Lembah Danum bukan saja menjadi habitat semula jadi hidupan liar hampir pupus, malah menyediakan pakej berjalan di atas pokok yang pasti meninggalkan nostalgia indah yang sukar dilupakan.

    Bagaimana ke sana ?
  • Pengunjung boleh menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Tawau, seterusnya menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Lembah Danum, Lahad Datu pada jarak 228 kilometer (km).
  • Ada penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Lahad Datu menggunakan pesawat Fokker MasWing atau dari KKIA ke Lapangan Terbang Tawau.
  • Bagi mereka yang memilih menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Kota Kinabalu, perjalanan sejauh 500 kilometer mengambil masa kira-kira 10 jam.
  • Laluan sejauh 77 kilometer dari persimpangan Jalan Lahad Datu-Tawau-Kota Kinabalu ke BRL adalah batu kelikir dan jalan balak.
  • Bagi mereka yang menggunakan kenderaan persendirian, kebenaran memasuki BRL Lembah Danum boleh diperoleh di Pejabat Daerah Lahad Datu.


  • Disediakan Oleh : Jamri Bin Japri


    No comments:

    Post a Comment